Kampung Belingos 

DSC_0048 

 

Kampung Belingos terletak kira-kira 5.6 kilometer dari Pekan Bangar. Mengikut cerita orang-orang tua, Kampung Belingos dinamakan oleh puak Murut, tetapi makna perkataan Belingos tidak diketahui. Nama tersebut mungkin berpunca dari sebatang anak sungai yang dinamakan Sungai Belingos. Keramaian penduduk di kampung ini ialah 58 orang sahaja dan terdapat 9 buah rumah persendirian. Jumlah penduduk ini adalah termasuk kakitangan Jabatan Elektrik dan keluarga mereka yang tinggal di Barik Letrik Kampung Belingos. Keseluruhan penduduknya bangsa Melayu dan berugama Islam. Kebanyakan penduduk-penduduk Kampung Belingos bekerja dengan sektor kerajaan dan selebihnya bertani dan nelayan. Di Kampung Belingos ini terdapat Stesen Janakuasa Elektrik yang memberi bekalan elektrik di seluruh Daerah Temburong.

 

Kampung Lagau

DSC_0031

Kampung Lagau terletak kira-kira 4.7 kilometer dari Pekan Bangar. Sejarah penamaan kampung ini mengikut cerita lisan dari orang-orang tua juga dinamakan oleh Puak Murut. Menurut cerita mereka, kononnya pada suatu masa tertentu penduduk kampung terdengar bunyi suara seperti orang melagau (memanggil) dari arah sebuah bukit berdekatan kampung itu dan selang beberapa hari akan ada orang meninggal dunia (menurut kepercayaan puak Murut). Sekarang kepercayaan tersebut tidak ada lagi dan berdasarkan cerita inilah kampung ini dikenali sebagai Kampung Lagau. Kampung Lagau mempunyai penduduk seramai 82 orang dan terdapat 17 buah rumah di kampung ini. Kebanyakkan penduduknya terdiri dari Puak Murut dan tujuh orang penduduk dari keluarga cina. Di kampung ini terdapat sebuah bengkel kereta yang memberi perkhidmatan membaiki kereta, mencuci kereta, ‘servicing’ kereta dan lain-lain, yang dimiliki oleh salah seorang penduduk kampung yang berbangsa Cina.

 

Kampung Piungan

Kampung Piungan terletak kira-kira 4.1 kilometer dari Pekan Bangar. Penamaan kampung ini berasal dari Puak Murut kerana dahulunya penduduk kampung suka mengambil air daripada sebatang anak sungai yang masih ada pada masa ini untuk keperluan seharian. Mereka mengambil air dengan menggunakan buah keduit yang sudah dikeringkan dan ditebuk di bawah tangkai untuk memasukkan air. Buah keduit itu dalam perkataan Murut dikenali sebagai Piungan. Maka mereka namakan anak sungai berkenaan sebagai sungai Piungan dan wujudlah nama kampung tersebut sebagai kampung Piungan yang kekal hingga ke hari ini. Penduduk-penduduk yang menetap di Kampung Piungan seramai lima belas orang yang terdiri dari tiga puak, iaitu Melayu, Iban dan Cina. Di kampung ini hanya terdapat empat buah rumah. Beberapa orang penduduk di kampung ini bekerja dengan kerajaan dan swasta. Selain itu, ada juga yang bekerja sebagai petani, nelayan dan ada di antaranya bekerja sendiri setelah bersara dari jabatan-jabatan kerajaan.

 

Kampung Bang Bulan

 DSC_0049 - Copy

Kampung Bang Bulan berasal bahasa Murut yang dalam bahasa Melayu bererti ‘Dalam Bulan’. Ia terletak kira-kira 3.4 kilometer dari Pekan Bangar. Kampung ini didiami dari tiga puak, iaitu Melayu, Cina dan Iban. Penduduk-penduduk kampung ini seramai lima belas orang dan terdapat 7 buah rumah sahaja. Pekerjaan penduduk-penduduk Kampung Bang Bulan adalah sebagai petani, nelayan dan bekerja sendiri. Di kampung ini ada dua orang adik beradik berbangsa Cina yang mengusahakan bengkel membaiki enjin motor sangkut dan kereta. Kedua-dua adik beradik ini menjalankan usaha ini lebih dari 30 tahun tanpa sebarang kelulusan dan pelajaran dalam bidang ini. Bengkel-bengkel mereka sering mendapat perhatian daripada pelanggan dan orang ramai untuk membaiki kereta dan enjin motor sangkut dan sebagainya.

 

Kampung Kinalong

DSC_0037

Kedudukan Kampung Kinalong dari Pekan Bangar kira-kira 2.5 kilometer sahaja. Ramai penduduk di kampung berkenaan hanya 17 orang keluarga dan 7 buah rumah. Kisah kampung tersebut dinamakan Kampung Kinalong, berasal dari cerita tentang sebuah Cina yang dahulunya pernah mendiami suatu kawasan berdekatan dengan anak sungai. Maka timbullah nama anak sungai tersebut dengan nama Kinalong dan wujudlah juga dengan nama Kampung Kinalong. Di kampung berkenaan terdapat sebuah rumah dua tingkat yang disewakan sebagai ‘Homestay’ yang sudah beroperasi pada masa ini dengan kadar sewa  bermula dari $ 35.00 bagi satu malam. Rumah tumpangan ini adalah kepunyaan Awang Haji Aji bin Haji Nokman dan di tingkat bawahnya juga terdapat sebuah restoran bagi kemudahan penyewa-penyewa dan untuk kunjungan orang ramai.

 

Kampung Subok

Kampung Subok terletak hanya kira-kira 1.6 kilometer dari Pekan Bangar. Ia didiami oleh seramai 5 buah keluarga dan terdapat 3 buah rumah, iaitu 2 buah terletak di seberang sungai Temburong kepunyaan dua keluarga puak Iban. Berdekatan dengan jalan raya utama pula, terdapat sebuah rumah kepunyaan seorang penduduk berbangsa Cina yang telah didiami kira-kira 45 orang pekerja bukan tempatan yang menyewa rumah berkenaan bagi kerja-kerja pembuatan besi dan simin. Di atas bukit kawasan Kampung Subok ada terdapat satu kawasan yang dinamakan Batu Ajung. Kampung tersebut dinamakan Kampung Subok kerana diseberang sungai ada terdapat sebatang anak sungai yang dinamakan sungai Subok oleh orang-orang tua pada masa dahulu. Keunikan anak sungai Subok ialah airnya tidak pernah kering (dikenali sebagai air batu) meskipun pada musim kemarau yang berterusan dan air sungai Temburong menjadi bahal / masin. Dalam awal tahun 60an dan 70an, penduduk-penduduk kawasan Pekan Bangar dan penduduk Kampung Menengah akan mengambil air tawar di Sungai Subok itu. Mengikut cerita orang-orang tua, di kawasan ulu sungai tersebut, seorang penduduk tempatan pernah menjumpai satu kawasan berupa sebuah taman yang indah seluas padan bola sepak ketika dia sedang berburu. Maka ianya menjadi satu legenda hingga kini akan kewujudan dan kebenaran cerita tersebut. Kedudukan Sungai Subok adalah diseberang sungai, berdekatan dengan rumah puak kepunyaan Awang Ambon anak Parang. Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Belingos telah pernah membuat peninjauan di kawasan anak Sungai Subok yang keadaannya berbatu-batu di ulu sungai.

 

Kampung Semamang

DSC_0043

Kampung Semamang yang jaraknya kira-kira 1 kilometer dari Pekan Bangar. Kampung ini didiami oleh dua buah keluarga dan hanya terdapat dua buah rumah di kampung ini. Di Kampung Semamang ini terdapat sebuah Stesen Penjualan Minyak Kenderaan (Syarikat Koperasi) bagi Daerah Temburong. Asal nama Kampung Semamang, tidaklah dapat dikenal pasti dari cerita orang-orang tua dahulunya. Di kampung ini terdapat sebuah kawasan perkuburan orang-orang Islam yang terbesar di Daerah Temburong, dinamakan Tanah Perkuburan Semamang.

 

Pekan Bangar

DSC_0032

 

Pekan Bangar berasal dari suatu nama dari Puak Murut, iaitu “BANGAR” yang bererti Papan. Sejarah nama ini diambil kerana pada masa dahulu berdekatan dengan anak sungai Pekan Bangar adalah tempat penaruhan papan orang-orang Murut untuk membuat rumah atau gubang atau perahu. Maka dinamailah kawasan tersebut dengan nama Bengar. Tetapi kini, nama itu sudah diubah kepada Bangar oleh pihak Jabatan Ukur pada waktu itu. Pekan Bangar pada mulanya dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Pekan Bangar Lama dan Pekan Bangar Baru. Namun kini nama itu sudah dimansuhkan dan disatukan dengan menggunakan nama Pekan Bangar sahaja. Pekan Bangar adalah pusat pentadbiran bagi jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah, kedai Pekan Bangar, Kedai-Kedai Bumi Putera dan lain-lain. Pekan Bangar adalah tempat terletaknya “TUGU PERINGATAN” sejarah kepada pegawai-pegawai kerajaan yang terkorban semasa pemberontakan pada tahun 1962 oleh Tentera National Kalimantan Utara (TNKU). Tugu berkenaan telah dirasmikan oleh Al- Marhum Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien Saadul Khairi Waddien pada kira-kira tahun 1963.

Advertisements